Perlawanan antara Perak FC dan Negeri Sembilan FC merupakan pertembungan klasik di antara dua pasukan yang pernah berada di kemuncak prestasi suatu masa lalu.
Menjelang pertemuan melibatkan dua bekas gergasi bola sepak Malaysia di Ipoh, Sukanz tampil menghidangkan lapan fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan, para pemain serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan untuk tatapan pembaca:
#1 Sejarah Pertembungan Sejak 2018
Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak 3 kali dalam saingan domestik dengan 3 kemenangan berpihak kepada skuad Seladang baik dalam Liga Super mahupun Piala FA.
#2 Rekod Semasa Perak
Ketika ini, Perak berada di tangga ke-11 Liga Super selepas tewas dalam empat perlawanan terakhir berturut-turut dan hanya mencatatkan satu kemenangan musim ini menentang Kuching City.
#3 Rekod Semasa Negeri Sembilan
Negeri Sembilan pula sedang berada dua tangga di atas Perak selepas mengumpul sembilan mata hasil kemenangan ke atas Kelantan dan Terengganu dan tiga keputusan seri menentang Sri Pahang, Sabah dan Penang.
#4 Pertembungan Terakhir Kedua-dua Pasukan
Aksi terakhir kedua-dua pasukan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Perak yang menewaskan skuad Jang dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Nazirul Naim dan Shahrel Fikri di Ipoh pada April 2019.
#5 Sikh Izhan dan Bryan See – Penjaga Gol Paling Banyak Aksi Penyelamatan
Sikh Izhan (Negeri Sembilan) mendahului carta penjaga gol dengan jumlah aksi penyelamatan tertinggi iaitu 29 percubaan diselamatkan. Bryan See (Perak) di tempat kedua dengan 23 percubaan diselamatkan.
#6 Casagrande Penyerang Yang Aktif Tapi Tumpul
Casagrande meletakkan dirinya sebagai pemain ketiga dengan jumlah percubaan tertinggi liga dengan 23 percubaan. Namun begitu, penyerang Brazil itu hanya catatkan 7 percubaan tepat dan menjaringkan 3 gol sahaja.
#7 Rekod Disiplin yang Kurang Menyenangkan
Perak merupakan salah satu pasukan dengan rekod disiplin yang merisaukan apabila 3 pemain skuad Seladang; Sunday Afolabi, Haziq Puad dan Nasrol Amri telah dilayangkan kad kuning kedua yang membawa kepada layangan kad merah sebelum ini.
#8 Potensi Kedudukan Kedua-dua Pasukan Selepas Perlawanan
Pungutan 3 mata pada malam ini akan meletakkan Perak merapatkan jurang mata dengan Negeri Sembilan manakala skuad Jang akan kekal di atas Perak dengan 1 mata.
Sebaliknya, Negeri Sembilan boleh melonjakkan kedudukan mereka ke tangga kelapan liga manakala Perak akan terus kehilangan mata dan jurang mata semakin melebar di antara kedudukan 4 terbawah dengan zon pertengahan liga.