Man City Rancang Tingkatkan Kapasiti Stadium Etihad Kepada Lebih 60,000
April 19, 2023 Hafizuddin Omar

Manchester City (Man City) bercadang untuk meningkatkan kapasiti Stadium Etihad kepada lebih 60,000 tempat duduk sekaligus menjadikan stadiumnya yang ketiga terbesar dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Old Trafford dan Stadium Tottenham Hotspur.

Untuk makluman, stadium ini turut disenaraikan sebagai salah sebuah venue pertandingan untuk kejohanan Euro 2028 yang dibida oleh United Kingdom (UK) dan Ireland. Dalam penyenaraian tersebut, kapasiti Stadium Etihad dikatakan mempunyai kapasiti 61,000 tempat duduk.  

Cadangan untuk pengubahsuaian ini hadir hadir apabila skuad berjulukan The Cityzen ini mengumumkan telah menghantar permohonan perancangan kepada Majlis Bandaraya Manchester (Manchester City Council).

Dalam permohonan terbabit, Man City turut bercadang untuk mengintegrasikan kesemua fasiliti, mengubah suai tempat duduk bahagian utara serta mewujudkan ruangan jalan kaki di atas bumbung stadium.

Disamping itu, mereka akan turut mengubah suai zon peminat dengan pelbagai pilihan kedai makanan dan minuman, sebuah kedai rasmi kelab yang baharu, muzium dan hotel.

Difahamkan, cadangan ini dianggarkan mempunyai nilai pelaburan lebih £300 juta kepada kawasan timur Manchester menerusi projek pembinaan besar yang akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan serta menawarkan 2,600 peluang pekerjaan yang akan diutamakan kepada orang setempat.

Komen