“Kita Tiada Penyerang” – Irfan Berang Abu Kamara Sia-Siakan Peluang
April 19, 2023 Meor Mohamad Amirul

Ketua jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim kecewa dengan corak permainan yang ditampilkan penyerang import mereka, Abu Kamara yang kerap melepaskan peluang di hadapan gawang lawan. 

Tambah Irfan, prestasi mengecewakan yang ditampilkan penyerang dari Liberia itu membuatkan seolah-olah The Cats tidak mempunyai penyerang untuk mereka bergantung harap.

“Terima hakikat (yang) kita tiada penyerang sebenarnya. Sejak kebelakangan ini, kita tengok Kamara. Kita (sebenarnya) mengharapkan dia. Bola yang tak patut dia tendang, dia tendang.”

“Bola yang patut dia gelecek, hantar kepada rakan pun dia tendang ikut suka. Mana boleh. Dia memang ada di atas (posisi penyerang) itu, meletihkan pertahanan Sri Pahang tetapi keberkesannya tiada. Sedih saya.” kata Irfan dalam sidang media selepas perlawanan menentang Sri Pahang FC.

 

Pengendali berusia 72 tahun itu turut memberi bayangan bahawa rombakan akan dilakukan khususnya di posisi tengah dan serangan selepas pertemuan bersama pihak pengurusan Kuching City FC diadakan. 

Bayangan tersebut seolah-olah menjurus kepada penamatan kontrak penyerang mereka, Abu Kamara tetapi Irfan memilih untuk tidak memberikan komen lanjut memandangkan masih ada baki 4 perlawanan untuk dihadapi. 

Dalam perlawanan menentang Sri Pahang di Kuching, Nor Azam Azih menjaringkan gol tunggal buat skuad Tok Gajah mencuri tiga mata penuh dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Liga Super musim ini.

Kuching City hanya berjaya mengutip satu mata daripada lima perlawanan terakhir mereka dan menyaksikan mereka kini berada di tangga ke-12 liga dengan empat mata. 

Featured Image: Kuching City FC

Komen