Pemenang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) sebanyak tujuh kali, AC Milan kembali merasai nikmat mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali dalam kejohanan terbabit selepas 16 tahun.
Skuad bimbingan Stefano Pioli ini merakamkan kemaraan terbabit setelah berhasil melakar kemenangan 2-1 secara agregat ke atas Napoli pada perlawanan peringkat suku akhir.
Menyumbang kepada kemenangan tersebut adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad kebangsaan Perancis, Olivier Giroud yang menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa pertama dalam perlawanan timbal balik di Stadium Diego Armando Maradona, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Napoli berhasil menjaringkan gol penyamaan pada penghujung perlawanan berkenaan menerusi Victor Osimhen namun ianya tidak memadai untuk mengikat apatah lagi mengatasi AC Milan pada perlawanan peringkat suku akhir tersebut.
This is Milan. 🔴⚫#NapoliMilan #UCL #SempreMilan pic.twitter.com/mOs5jW96t9
— AC Milan (@acmilan) April 18, 2023
Dalam perlawanan suku akhir pertama lalu di Stadium San Siro, AC Milan berjaya melakar kemenangan 1-0 hasil jaringan Ismael Bennacer.
Sebagai rekod, kali terakhir AC Milan mara ke peringkat separuh akhir UCL adalah pada musim 2006-07 ketika dibimbing oleh Carlo Ancelotti.
Skuad pada ketika itu dibarisi dengan beberapa pemain bintang seperti Filipo Inzaghi, Ricardo Kaka, Clarence Seedorf, Gattuso, Alessandro Nesta, Paolo Maldini dan beberapa pemain lain lagi.
Musim itu juga menyaksikan AC Milan menamatkan kempen UCL sebagai juara buat kali ketujuh dengan menumpaskan Liverpool 2-1 bertempat di Athens, Greece.
Featured Image: AC Milan