Surat Tawaran Tidak Wujud Dalam Sistem MFL – Stuart Ramalingam
April 19, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stuart Ramalingam menganggap dakwaan bahawa surat tawaran daripada Selangor FC terhadap seorang pemain yang disiarkan oleh Facebook Page, Harimau Selatan X dibocori oleh Malaysian Football League (MFL) adalah tidak berfakta serta tidak bertanggungjawab.

Menjelaskan hal tersebut dengan lebih lanjut, Stuart berkata surat berkenaan tidak pernah wujud dalam sistem MFL kerana pihaknya hanya meminta kelab-kelab memuat naik kontrak pemain

“MFL tidak menerima surat tawaran (letters of offer), jelas sekali, ada akaun media sosial yang mendakwa kebocoran surat ini daripada MFL, 

“Sistem MFL hanya muat naik kontrak pemain dan bukannya surat tawaran, jadi, surat tawaran ini tidak wujud dalam sistem kita, 

“Dakwaan yang dibuat itu tidak berfakta (dan) tidak bertanggungjawab.” ujarnya ketika disoal pengamal media semasa Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih AEON BiG dan MFL, semalam.

Pada Isnin lalu, Harimau Selatan X memuat naik sepucuk tawaran kepada pemain yang ditutupi namanya lengkap dengan tandatangan milik CEO Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Isi kandungan surat tersebut memperincikan tawaran oleh Selangor kepada pemain tersebut yang merangkumi tempoh kontrak selama 1+1 tahun, gaji berjumlah AS$30,000 sebulan, yuran-yuran, bonus kemenangan, bonus kejuaraan, rumah, kereta serta tiket kapal terbang.

Sejurus keluarnya surat tawaran terbabit, terdapat kalangan pengguna media sosial mendakwa surat tersebut dibocori oleh pihak dalaman MFL. 

Komen