Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menempelak corak permainan PDRM FC yang dianggap ‘membosankan’ ketika bertemu pasukannya.
Tambah Solari, PDRM FC tidak memberikan cabaran kepada pasukannya dan tidak menganggap skuad Sang Saka Biru itu sebagai pencabar terkuat mereka setakat ini biarpun JDT hanya menang tipis ke atas pasukan tersebut.
“Permainan paling sukar? Entahlah. Saya fikir ia adalah permainan yang membosankan, bukan yang paling sukar kerana permainan yang sukar, bagi saya, sepatutnya memberikan saya cabaran.”
“Hari ini, saya rasa PDRM lebih banyak bertahan, membuang masa, dan melengahkan perlawanan. Saya tidak menyalahkan mereka kerana ini adalah strategi yang mereka pilih untuk lakukan tetapi saya fikir ia bukan satu cabaran untuk kami.” ujar Solari dalam sidang media selepas perlawanan menentang PDRM FC.
90’ FULL TIME.
Unlucky to concede a goal of that “quality” but the boys held their ground. 🔥#pdrmjdt pic.twitter.com/ZCsZSlha29
— PDRM Football Club (@officialpdrmfc) April 19, 2023
Pengendali berusia 43 tahun itu juga mahu pasukannya terus bermain secara menyerang dan memberikan hiburan kepada setiap penyokong yang menyaksikan mereka beraksi.
Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan Harimau Selatan hanya menang tipis ke atas skuad kendalian Azzmi Aziz dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Fernando Forestieri.
Keputusan tersebut menjadikan PDRM FC menjadi pasukan dengan jumlah bolos terendah bertemu juara bertahan itu setakat ini. Walaupun begitu, hal ini juga bermakna JDT terus melebarkan rekod kemenangan bersih dalam 9 perlawanan musim ini.
Featured Image: Johor Southern Tigers