BAC 2023: Xi Quan-Le Xuan Bertemu Beregu No.1 Dunia Di Pusingan 32
April 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan wanita negara, Ng Xi Quan dan Teoh Le Xuan mara ke pusingan 32 setelah berjaya melepasi peringkat kelayakan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 selaku pemenang Kumpulan D.

Xi Quan-Le Xuan melakar kejayaan memenangi kedua-dua perlawanan di peringkat kumpulan yang menyaksikan mereka mengumpul 4 mata dengan dua kemenangan straight set.

Pilihan keempat peringkat kelayakan itu berjaya menewaskan gandingan Vietnam, Thi Phuong Hong Dinh-Pham Thi Khanh dengan keputusan 21-18, 21-15 pada perlawanan pertama. 

Beregu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sanika Dhawan Gurav-Akansha Raj menjadi mangsa kedua pasangan wanita negara apabila ditewaskan 21-9, 21-7 pada perlawanan kedua dalam hanya 21 minit. 

Kemenangan ini seterusnya melayakkan Xi Quan-Le Xuan ke pusingan 32 bagi acara beregu wanita dan bertemu pilihan utama kejohanan dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang kini merupakan beregu No.1 dunia.

Pada tahun ini, gandingan Qing Chen-Yi Fan telah beraksi dalam 3 kejohanan setakat ini dengan dua daripadanya berakhir di pentas akhir yang menyaksikan pasangan China ini muncul juara Terbuka Malaysia, Januari lalu

Perlawanan ini juga merupakan pertemuan sulung kedua-dua beregu Malaysia dan China sepanjang karier profesional mereka dan Xi Quan-Le Xuan hadir sebagai underdog yang diharap mampu mencipta kejutan menentang gandingan Qing Chen-Yi Fan.

Featured Image: Instagram Ng Qi Xuan

Komen