BAC 2023: Beregu Campuran No.2 Negara Terkandas Awal Di Tangan Wakil China
April 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menjadi mangsa pertama dari Malaysia yang kecundang dalam saingan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 selepas dikalahkan wakil China dalam pusingan 32.

Pilihan kelima kejohanan itu terpaksa akur pulang awal apabila tewa “straight set” kepada beregu No.4 mereka, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Dalam perlawanan selama 32 minit itu, pasangan Zhen Bang-Ya Xin mudah menjinakkan gandingan Kian Meng-Pei Jing dengan keputusan 21-17 dan 21-13 dalam perlawanan terakhir malam tadi. 

Sebelum ini, sudah enam kali beregu No.2 kebangsaan ini gagal ke suku akhir dengan 2 kali berakhir di pusingan 16 manakala selebihnya berakhir awal di pusingan 32 melibatkan kejohanan Jelajah Dunia BWF.

Dalam perkembangan yang sama, hari pertama BAC 2023 juga menyaksikan pasangan Soon Huat-Jemie Lai bangkit daripada ketinggalan pada set pertama untuk meraih keputusan 15-21, 22-20 dan 21-15 menewaskan beregu Taiwan, Hong Wei-Chia Hsin. 

Selain itu, gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kejutan menewaskan pilihan ketujuh kejohanan dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun dengan keputusan “straight set” 21-14 dan 21-13. 

Soon Huat-Jemie Lai akan bertemu pasangan China, Cheng Xing-Chen Fang Hui manakala beregu Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menjadi lawan seterusnya buat Tang Jie-Ee Wei di pusingan 16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen