Acara TCS London Marathon 2023 menyaksikan satu Rekod Dunia Guiness (Guinness World Record) yang baharu ditempa oleh pelari dari Malaysia menerusi Mohd Syahidan Alias pada Ahad lalu.
Pelari yang turut dikenali sebagai Edan Syah itu menempa rekod sebagai Pelari Maraton Terpantas Berpakaian Tradisional Melayu (Lelaki) setelah menamatkan larian penuh berjarak 42.2 kilometer (km) di acara berkenaan dalam tempoh masa 2 jam 49 minit dan 22 saat.
Menerusi perkongsian di pelbagai laman sosialnya, larian itu disudahkannya dengan memakai persalinan lengkap Baju Melayu berserta samping daripada jenama pakaian tempatan, Bulan Bintang dan songkok.
Acara itu turut menyaksikan beberapa pelari lain menempa Rekod Dunia Guinness baharu dengan mengenakan dan menyarung pakaian yang unik seperti baju tidur, pemain badminton, kesatria, peninju dan lain-lain lagi.
Untuk pengetahuan semua, ini bukanlah kali pertama Edan mengenakan pakaian unik ketika mengambil bahagian dalam acara maraton.
Pada September 2018, Edan muncul sebagai pemegang rekod dunia sebagai Pelari Maraton Terpantas Berpakaian Bendera (Lelaki) apabila menyudahkan larian di Blackmores Sydney Running Festival dengan catatan masa 2 jam 54 minit dan 34 saat.
Sebagai tambahan, catatan masa peribadi terbaik pernah direkodkan Edan adalah 2 jam 30 minit dan 56 saat ketika mengambil bahagian dalam acara Gold Coast Airport Marathon di Australia pada tahun 2017.
Featured Image: Instagram Edansyah