Gandingan campuran bebas (independent) Chan Peng Soon dan Cheah Yee See kembali melakar kekalahan pada pusingan awal – yang ketiga daripada lima kejohanan yang disertainya pada tahun 2023.
Kali ini kekalahan terbabit tercatat pada Pusingan 32 di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 apabila tumpas kepada pasangan India yang menghuni ranking ke-48 dunia, Rohan Kapoor dan Sikki Reddy.
Dalam pertarungan itu, Peng Soon-Yee See tumpas secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-16 dalam tempoh 36 minit permainan yang berlangsung di Dewan Sheikh Rashid Bin Hamdan.
RESULTS: #BadmintonAsiaChampionships2023
R32#IND🇮🇳 Rohan Kapoor-Reddy Sikki def. #MAS🇲🇾 Chan Peng Soon-Cheah Yee See 21-12 21-16
📷 @badmintonphoto
#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/vBrBXrDfes— BAM (@BA_Malaysia) April 26, 2023
Bertambah malang, ini merupakan kekalahan kedua beturut-turut Peng Soon-Yee See di tangan gandingan lawan yang sama.
Ketika bertemu julung kalinya di Terbuka Vietnam pada tahun lalu, Peng Soon-Yee See turut tumpas dengan keputusan “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-17 pada peringkat suku akhir.
Bercakap mengenai prestasi Peng Soon-Yee See pada tahun ini, selain daripada tiga kejohanan yang disertai menyaksikan mereka terkandas di Pusingan 32, baki dua kejohanan lagi berakhir setakat Pusingan 16 dan suku akhir dalam saingan Princess Sirivannavari Thailand Masters dan Orleans Masters masing-masing.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia