Artikel

Harimau Malaya Lawan Solomon & Yaman Pada Pertengahan Minggu – Sepak Mula 9 Malam

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil berkongsikan tarikh berserta hari dan waktu sepak mula melibatkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon pada rehat antarabangsa FIFA pada bulan Jun kelak.

Menerusi makluman di pelbagai media sosialnya pada hari ini, Harimau Malaya dijadualkan menentang pasukan yang menghuni ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon pada 14 Jun. Manakala pertembungan menentang Yaman yang berada di ranking ke-157 pula bakal berlangsung pada 20 Jun.

Kedua-dua perlawanan yang bakal diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), Gong Badak, Terengganu itu berlangsung sekitar pertengahan minggu iaitu pada Rabu dan Selasa masing-masing. Sementara itu, sepak mula bagi kedua-dua perlawanan adalah pada jam 9 malam.

Sepertimana disahkan oleh Presiden FAM dalam satu sesi temu bual bersama para pengamal media, harga tiket bagi kedua-dua perlawanan ini kekal sepertimana perlawanan pada bulan Mac lalu iaitu RM30 bagi dewasa di tempat duduk terbuka.

Sebagai tambahan, kedua-dua perlawanan ini berstatus Perlawanan Antarabangsa Tier 1.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen