Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bermula langkah kanan ke pusingan 16 Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas lebih 3 bulan berehat berikutan kecederaan yang dialami Wei Chong baru-baru ini.
Bertemu buat kali pertama, beregu lelaki No.4 negara itu berjaya menundukkan gandingan India, P.S Ravikrishna-Sankar Udayakumar dengan keputusan “straight set” 21-12 dan 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 28 minit.
Untuk makluman, pasangan Ravikrishna-Udayakumar merupakan beregu yang mendapat promosi daripada peringkat kelayakan berikutan penarikan diri saat akhir gandingan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Nanthakarn Yordphaisong.
Sebelum ini, beregu negara yang menghuni ranking ke-28 dunia hanya beraksi sebanyak dua kali pada tahun ini iaitu dalam saingan Terbuka India dan Terbuka Malaysia. Dua kejohanan tersebut menyaksikan mereka tersekat di pusingan 32 sebelum berehat akibat kecederaan pergelangan kaki yang dialami Wei Chong.
RESULTS: #BadmintonAsiaChampionships2023
R32#MAS🇲🇾 Man Wei Chong-Tee Kai Wun def. #IND🇮🇳 P.S Ravikrishna-Sankar Udayakumar 21-12 21-17
📷 @badmintonphoto #GemilangkanLagi #DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/M0QzxQOpmp
— BAM (@BA_Malaysia) April 26, 2023
Sementara itu, kemenangan Wei Chong-Kai Wun itu membawa mereka bertemu pilihan ke-4 kejohanan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di Pusingan 16. Sebelum itu, Hoki-Kobayashi mara selepas menewaskan gandingan India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala.
Gandingan Hoki-Kobayashi merupakan bekas juara dunia 2021 dan pernah menakluki ranking No.1 dunia selama 14 minggu berturut-turut sebelum kedudukan mereka dipintas pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Kedua-dua beregu Malaysia dan Jepun ini telah bertemu sekali sebelum ini dalam saingan All England 2022. Ianya berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Hoki-Kobayashi menerusi skor 21-17, 18-21 dan 23-21 sekaligus menyingkirkan Wei Chong-Kai Wun di Pusingan 32.
Featured Image: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)