Haaland Pecah Rekod Penjaring Terbanyak EPL Bagi 38 Perlawanan Semusim
April 27, 2023 Hafizuddin Omar

Mencipta rekod baharu serta memecahkan pelbagai rekod lama sudah menjadi suatu hobi buat penyerang prolifik Manchester City iaitu Erling Haaland. Terbaru, pemain berusia 22 tahun ini muncul sebagai Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) Bagi 38 Perlawanan Semusim.

Rekod ini hadir apabila Haaland yang lahir di Leeds, United Kingdom (UK) menjaringkan satu gol pada masa tambahan yang membantu pasukannya membenam Arsenal dengan keputusan 4-1 di Stadium Etihad, awal pagi tadi waktu Malaysia.

Jaringan tersebut menjadikannya mengumpul 33 gol dalam saingan EPL musim ini. Ianya sekaligus mengatasi catatan 32 gol bagi 38 perlawanan semusim yang dihasilkan oleh penyerang Liverpool, Mohamed Salah pada musim 2017-18.

Untuk makluman, rekod Penjaring Terbanyak EPL Bagi Semusim masih dipegang bersama oleh Alan Shearer dan Andy Cole yang dilakukan pada musim 1993-94 dan 1994-95 masing-masing. 

Namun begitu, ianya dilakukan mereka ketika saingan EPL dilangsungkan sebanyak 42 perlawanan semusim.

Menariknya, jaringan yang dihasilkan mereka adalah 34 gol dan Haaland hanya memerlukan dua gol sahaja lagi untuk memecahkan rekod berkenaan sebelum dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak EPL Semusim Sepanjang Zaman.

Featured Image: Manchester City

Komen