MotoGP: Perlumbaan di Sokol Dibatalkan Tanpa Ganti
April 27, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kejuaraan Dunia MotoGP Kazakhstan yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sokol pada 9 Julai 2023 terpaksa dibatalkan ekoran proses homologasi – proses mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti.

Perkara tersebut dimaklumkan secara rasmi oleh badan induk serta penganjur, FIM, IRTA dan Dorna Sports menerusi pelbagai platform laman sosialnya, semalam.

“Proses homologasi yang berterusan ke atas litar, berserta dengan cabaran semasa dalam pengoperasian global telah menyebabkan acara ini dibatalkan.”  tulis kenyataan tersebut.

Pada September tahun lalu, badan induk mengumumkan Kazakhstan akan menjadi salah satu destinasi baharu bagi perlumbaan MotoGP musim 2023 dan berterusan bagi lima tahun akan datang.

Pengumuman terbabit menjadikan Kazakhsatan negara rantau asia tengah pertama yang menganjurkan perlumbaan MotoGP. Ianya merupakan destinasi ke-30 jenama sukan pemotoran terbesar dunia tersebut dalam usaha mereka melebarkan sayap ke seluruh dunia.

MotoGP, badan induk dan penganjur berharap dapat kembali mengadakan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sokol pada tahun 2024.

Sehubungan itu, pihak penganjur mengumumkan acara tersebut tidak akan digantikan pada tarikh berkenaan dan bermakna tiada perlumbaan akan berlangsung sepanjang bulan Julai.

Komen