Jaguh Karate Dipilih Sebagai Pembawa Jalur Gemilang Sukan SEA 2023
April 27, 2023 Hafizuddin Omar

Sharmendran Raghonathan yang merupakan jaguh karate kebangsaan telah dipilih sebagai Pembawa Jalur Gemilang bagi Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2023 Kemboja yang akan berlangsung mulai 5 hingga 17 Mei kelak.

Perkembangan terbabit hadir menerusi makluman daripada platform media sosial rasmi MOM pada hari ini. 

Difahamkan pemilihan atlet berusia 30 tahun ini bagi membawa peranan tersebut berdasarkan prestasi yang cemerlang dalam beberapa temasya Sukan SEA yang lepas selain turut tersenarai kalangan atlet yang akan menyumbang pingat emas kepada Kontinjen Malaysia kali ini.

View this post on Instagram

A post shared by Olympic Council of Malaysia (@olympicmas)

Untuk pengetahuan semua, Sharmendran merupakan juara bertahan bagi kategori Kumite Lelaki 75 kilogram (kg) dalam tiga edisi Sukan SEA yang berlangsung di Kuala Lumpur (2017), Filipina (2019) dan Vietnam (2021) 

Sudah pasti, Sharmendran menyertai edisi Sukan SEA pada kali ini dengan misi menambah satu lagi koleksi pingat emas peribadinya dalam acara yang sama.

Sebagai tambahan, Sharmendran muncul sebagai atlet sukan Karate kedua dipilih sebagai Pembawa Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia. 

Sebelum ini, atlet pertama daripada sukan karate yang muncul sebagai Pembawa Jalur Gemilang buat Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ialah Puvaneswaran Ramasamy. Beliau diberikan tanggungjawab itu pada temasya edisi ke-22 yang berlangsung di Vietnam pada tahun 2003.

Featured Image: Instagram Sharmendran Raghonathan

Komen