5 Fakta Istimewa Karier Badminton Liew Daren
April 27, 2023 Meor Mohamad Amirul

Atlet perseorangan lelaki negara, Liew Daren secara rasminya telah menggantung raket dan meninggalkan dunia badminton selaku pemain tetapi tidak memberikan bayangan jelas hala tujunya selepas ini.

Mari Sukanz singkap fakta-fakta istimewa detik naik dan turun melibatkan bekas pemain berusia 35 tahun ini sepanjang 20 tahun berkarier sebagai pemain badminton:

1. Tidak Pernah Layak Sertai Sukan Olimpik

Mula mewakili negara sejak 2003, Liew Daren tidak pernah layak menyertai Sukan Olimpik sepanjang 20 tahun kariernya untuk Malaysia bersamaan lima edisi temasya tersebut diadakan. 

Biarpun kerap diletakkan selaku perseorangan lelaki kedua negara, Daren hanya pernah sekali menyertai kelompok 10 pemain terbaik dunia pada Disember 2013 selama seminggu sebelum kembali berada di luar kelompok tersebut.

2. Terperosok Ke Ranking 198 Dunia Sebelum Kembali Bangkit

Liew Daren boleh dikatakan pernah mencapai tahap terendah dalam kariernya. Selepas kejayaannya berada di tangga ke-10 dunia, prestasinya tidak menentu dan graf kedudukannya terus menghampiri ranking ke-200 dunia. 

Pada April 2016, Liew Daren berada di ranking ke-192 dan ke-198 dunia sebelum pamer aksi cemerlang pada suku keempat tahun 2016 dengan muncul naib juara di Korea Masters dan Chinese Taipei. Kemenangan itu kembali meletakkan dirinya dalam kelompok 50 terbaik dunia. 

3. Boleh Digelar Sebagai ‘Dark Horse’ Dalam Badminton

Liew Daren boleh digelar sebagai “dark horse” dalam setiap kejohanan yang menyaksikan dirinya membawa pulang pingat ke tanah air tatkala dirinya diletakkan sebagai pemain bukan pilihan kejohanan. 

Berada di kedudukan yang tidak cukup untuk meletakkan dirinya selaku pilihan, Liew Daren berjaya meraih gangsa dalam aksi Kejohanan Dunia BWF (2018), juara Terbuka Perancis (2012), naib juara dalam dua Kejohanan Grand Prix BWF 2016 dan juara Chinese Taipei Satellite (2005). 

4. Pernah Menjadi Pemain-Jurulatih Dalam Kejohanan Yang Sama

Kejohanan All England 2023 menjadi satu detik bersejarah buat Liew Daren apabila berada di pentas eropah bukan hanya sebagai pemain malahan sebagai jurulatih kepada pemain lain yang turut beraksi dalam kejohanan yang sama.

Seperti diketahui umum, Liew Daren yang terkandas awal di pusingan 32 telah menjadi jurulatih separuh masa kepada perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas jurulatih, Indra Wijaya.

5. Kemudi Skuad Negara Ke Final Piala Thomas 2014

Liew Daren pernah mengetuai cabaran negara dalam saingan Piala Thomas 2014 biarpun dibarisi atlet badminton lelaki yang sedang di kemuncak seperti Datuk Wira Lee Chong Wei dan Tan Boon Heong.

Menariknya, skuad negara diketuai Daren berjaya mara sehingga ke pentas akhir sebelum tewas kepada Jepun dengan keputusan 3-2 yang menyaksikan Malaysia terus kempunan kejuaraan sejak kali terakhir memenangi kejohanan tersebut pada tahun 1992. 

Selamat bersara, Liew Daren!

Komen