TMJ Beri Bayangan Falcao Semakin Hampir Ke JDT?
April 27, 2023 Hafizuddin Omar

Adakah penyerang yang pernah beraksi dengan beberapa kelab gergasi eropah seperti Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Manchester United dan Chelsea iaitu Radamel Falcao semakin hampir untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT)?

Persoalan itu tercetus susulan satu ciapan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi akaun Twitter peribadinya, pada hari ini.

“Jumpa anda dalam masa terdekat,” ciapnya sambil memautkan akaun Falcao serta ejennya, Morris Pagnielli. Ciapan itu turut dikepilkan dengan empat buah foto dimana dua daripadanya melibatkan pertemuan antara TMJ dan Morris baru-baru ini.

Pada awal Mac lalu, media berpangkalan di Sepanyol iaitu Marca melaporkan penyerang berusia 37 tahun ini mendapat tawaran kontrak selama dua tahun daripada JDT sekaligus menghangatkan gosip perpindahannya ke Liga Malaysia.

Selain itu, tawaran tersebut turut merangkumi potensi Falcao sebagai duta kelab berjulukan Harimau Selatan serta negeri Johor apabila bersara kelak.

Featured Image: Instagram Morris Pagniello

Komen