Beregu lelaki No.1 tanah air merangkap juara Kejohanan Dunia BWF 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kini gagal mara ke peringkat suku akhir dalam keempat-empat kejohanan yang disertai mereka sejak Mac lalu.
Terbaru, kegagalan tersebut berulang ketika mereka tumpas pada Pusingan 16 di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 yang sedang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada minggu ini.
Pada peringkat tersebut, Aaron-Wooi Yik yang merupakan finalis BAC 2022 turun berentap menentang gandingan Taiwan yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin.
RESULTS: #BadmintonAsiaChampionships2023
R16#TPE Lee Yang-Wang Chi Lin def. #MAS🇲🇾 Aaron Chia-Soh Wooi Yik(2) 14-21 21-16 21-19
📷 @badmintonphoto
#DemiMalaysia #BadmintonMalaysia pic.twitter.com/3avHW996Jn— BAM (@BA_Malaysia) April 27, 2023
Pertarungan yang memakan masa hampir 50 minit permainan itu berakhir Aaron-Wooi Yik tumpas dengan keputusan 21-14, 16-21 dan 19-21.
Kekalahan ini merupakan yang keempat daripada enam pertemuan dialami oleh Aaron-Wooi Yik apabila bertemu gandingan Lee-Wang di pentas kejohanan antarabangsa.
Untuk makluman semua, dalam tiga kejohanan yang lalu, Aaron-Wooi Yik hanya beraksi setakat Pusingan 32 (All England) dan Pusingan 16 (Terbuka Jerman & Terbuka Swiss).
Kali terakhir mereka mara ke peringkat suku akhir pada tahun ini adalah di kejohanan Indonesia Masters yang berlangsung pada penghujung Januari lalu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia