Derbi Pantai Timur antara Terengganu FC menentang Sri Pahang FC menjadi salah satu pertembungan klasik yang sering dinantikan peminat bola sepak tempatan lebih-lebih lagi kalangan penyokong kedua-dua pasukan terbabit.
Menjelang perseteruan Pantai Timur yang akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada malam nanti, Sukanz tampil menghidangkan 10 fakta perlawanan yang merangkumi rekod semasa pasukan, para pemain serta statistik pertembungan bagi kedua-dua pasukan untuk tatapan pembaca:
#1 Sejarah Pertembungan Kedua-Dua Pasukan Sejak 2018
Sekembalinya Terengganu ke Liga Super, kedua-dua pasukan telah bertemu 13 kali dengan lapan pertembungan memihak kepada skuad Sang Penyu. Tiga perlawanan dimenangi Sri Pahang dan selebihnya berakhir dengan keputusan seri dalam saingan domestik.
#2 Terengganu ‘Kryptonite’ Skuad Tok Gajah?
Ibarat Superman yang tewas kepada batu Kryptonite, Terengganu umpama titik kelemahan Sri Pahang selepas memenangi kesemua 5 pertembungan terakhir mereka dan kekal tanpa kalah menentang skuad Tok Gajah sejak 2019.
#3 Rekod Semasa Terengganu
Ketika ini, Terengganu berada dalam kelompok pertengahan liga dengan mencatatkan 3 kemenangan daripada 5 perlawanan terakhir liga mereka dan semua kemenangan mereka hadir di laman sendiri.
#4 Rekod Semasa Sri Pahang
Skuad Tok Gajah kini berada di tangga keempat liga dengan 19 mata dengan mengekalkan rekod 5 perlawanan terakhir liga tanpa kalah menentang Kuching City, Kelantan United, PDRM FC, Kedah Darul Aman dan Perak.
#5 Pertembungan Liga Terakhir Kedua-dua Pasukan
Aksi terakhir kedua-dua pasukan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kepada Terengganu baik di Kuantan mahupun di Kuala Terengganu dengan Kpah Sherman menjadi salah seorang penjaring buat skuad Sang Penyu musim lalu.
#6 Rekod Tanpa Kalah Terengganu dan Sri Pahang Jadi Taruhan
Sementara skuad kendalian Fandi Ahmad terus unggul selaku salah satu pasukan yang masih belum tewas dalam saingan liga musim ini, Tomislav perlu memastikan mereka berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sejak September 2022.
#7 Kpah Sherman Duri Dalam Daging Buat Terengganu?
Perlawanan ini merupakan perlawanan pertama bekas penyerang kebangsaan Liberia bagi menentang bekas pasukannya, Terengganu yang mana dia muncul selaku penjaring kedua terbanyak kelab musim lalu dengan 13 gol.
#8 Stefano Brundo Pertahanan Yang Prolifik
Selain Kpah Sherman, watak utama serangan Sri Pahang hadir daripada pertahanan mereka sendiri; Stefano Brundo yang kini menjaringkan 5 gol liga dan berada dalam kelompok 5 penjaring terbanyak Liga Super 2023.
#9 Gandingan Jordan Mintah-Ivan Mamut ‘Membunuh’
Baik Jordan Mintah mahupun Ivan Mamut, kedua-dua penyerang Terengganu itu telah menjaringkan gol dalam 5 perlawanan terakhir dengan koleksi 7 gol telah hadir daripada mereka berdua.
#10 Potensi Kedudukan Kedua-dua Pasukan Selepas Perlawanan
Pungutan 3 mata pada malam ini tidak memberi kesan signifikan kepada Terengganu memandang mereka kekal dalam kelompok pertengahan liga manakala Sri Pahang juga kekal di tangga keempat liga.
Sebaliknya, skuad Tok Gajah berpotensi berada di bawah pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) jika menang dan menjaringkan lebih 4 gol manakala Terengganu akan memberi peluang kepada Negeri Sembilan untuk merapatkan jurang mata jika tewas.