Kelab Milik Ryan Reynolds Sahkan Menentang Chelsea Sebelum Bertemu Man Utd
April 28, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab bola sepak yang dimiliki secara bersama oleh bintang Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, Wrexham AFC mengesahkan akan bertemu pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dalam aksi pramusim di Amerika Syarikat pada Julai nanti.

Wrexham yang merupakan kelab bola sepak ketiga tertua di dunia mengesahkan perkara berkenaan menerusi satu kenyataan rasmi di laman sesawangnya, baru-baru ini. Difahamkan, pertemuan itu akan berlangsung pada 19 Julai bertempat di Stadium Kenan, North Carolina, Amerika Syarikat.

Sebelum ini, Wrexham yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara Liga Nasional Vanarama dan akan beraksi dalam saingan EFL League Two pada musim hadapan telah mengesahkan akan menentang sebuah lagi pasukan EPL iaitu Manchester United (Man Utd).

Perlawanan itu dijadualkan berlangsung selang enam hari kemudian di Stadium Snapdragon, San Diego.

Pada masa yang sama, Wrexham turut menjanjikan dua lagi perlawanan dalam siri jelajah pramusim di Amerika tersebut. Ianya akan berlangsung pada 22 dan 28 Julai namun pasukan yang akan menjadi lawan mereka akan dimuktamadkan kemudian.

Featured Image: Wrexham AFC

Komen