Tindakan kelab yang dimiliki oleh Norizam Tukiman iaitu Kelantan FC untuk tidak membenarkan membawa masuk kain rentang, tifo dan drum ke dalam Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV) mengundang kritikan ramai terutamanya dalam kalangan para penyokong.
Kelab berjulukan The Red Warriors (TRW) itu memaklumkan mengenai larangan membawa masuk tiga barangan berkenaan menerusi makluman di laman sosialnya, semalam, menjelang pertemuan kesepuluh Liga Super menentang Perak FC.
Tiga barangan itu menjadi tambahan kepada senarai 20 barangan sedia ada diharamkan dibawa masuk ke dalam stadium seperti rokok, vape, pemetik api, pisau, powerbank, payung, lato-lato dan lain-lain lagi.
Di ruangan komen pada hantaran terbabit, Pegawai Keselamatan TRW menjelaskan peralatan dan item yang dinyatakan tidak boleh dibawa masuk ke dalam stadium atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Tinjauan di ruangan komen itu juga memperlihatkan sebahagian besar penyokong tidak bersetuju dengan tindaka terbabit. Tidak kurang juga yang menganggap ianya sebagai satu kelucuan lebih-lebih lagi sukan bola sepak sememangnya sinonim dihiasi dengan pelbagai kain rentang, tifo serta ketukan drum khususnya dalam kalangan penyokong beraliran ultras.