Bojan Takut Gaji Dipotong Jika Komen Pengadil, Isteri Perlukan Wang Beli Barang Dapur

April 28, 2023
Uncategorized

Meor Mohamad Amirul

Pengendali Kuala Lumpur City (KL City) FC, Bojan Hodak sempat berseloroh bahawa isterinya tidak benarkan dirinya memberi komen mengenai pengadil kerana bimbang akan tindakan potongan gaji. Ini akan mengurangkan wang buat isterinya untuk membeli barangan dapur. 

Nada berseloroh tersebut dilontarkan Bojan ekoran berang dengan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah ke atas pemainnya, Giancarlo Gallifuoco tetapi tidak mahu tindakan lanjut dikenakan atas dirinya.

Namun begitu, pihaknya telah membuat keputusan untuk melaporkan tindakan pengadil, Usaid Jamal yang bertugas pada perlawanan menentang PDRM FC kepada pihak berwajib.

“Sudah pasti, kami akan hantar laporan. Saya tidak boleh beri komen lanjut, tetapi kami akan hantar laporan. Tidak pasti berapa banyak laporan sudah kami hantar tahun ini tetapi (laporan) ini akan jadi yang seterusnya.”

“Saya boleh kongsikan videonya kepada anda (wartawan) tetapi saya tidak boleh berikan komen yang lanjut.” ujar Bojan Hodak dalam sidang media selepas perlawanan menentang PDRM.

Dalam perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur semalam, berlaku situasi tegang di penghujung perlawanan melibatkan Giancarlo Gallifuoco (KL City) dan James Okwuosa (PDRM FC) yang memaksa pengadil melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain tersebut.

Situasi tanpa bola pada minit ke-90 perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pemain menarik rambut masing-masing sebelum cuba disuraikan pegawai perlawanan dan para pemain kedua-dua pasukan.  

Bagaimanapun, keadaan itu tidak mengubah keputusan perlawanan yang memihak kepada KL City yang menang menentang skuad Sang Saka Biru dengan skor 3-0. 

Kemenangan itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut skuad kendalian Bojan Hodak pada musim ini yang meletakkan mereka berada di tangga keenam liga dengan 15 mata. 

Featured Images: Kuala Lumpur City Football Club

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd