BAC 2023: Soon Huat-Shevon Kalah 11 Kali Bertemu Si Wei-Ya Qiong
April 29, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran bebas (independent) negara, Goh Soon Huat dan  Shevon Jemie Lai berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 setelah menumpaskan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Haningtyas Mentari.

Dalam perlawanan terbabit, Soon Huat-Shevon yang kini merupakan beregu campuran No.1 tanah air merakamkan kemenangan ke atas Rinov-Pitha menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengans skor 21-17, 15-21 dan 21-19 dalam tempoh masa menghampiri satu jam permainan.

Namun begitu, kemenangan tersebut membawa mereka berhadapn dengan cabaran besar kerana bakal bertemu beregu campuran No.1 dunia merangkap juara bertahan serta lawan yang tidak pernah mereka tumpaskan dalam 11 pertemuan secara keseluruhan iaitu Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong.

Soon Huat-Shevon bukan sahaja belum pernah mencatatkan sebarang kemenangan bahkan sepuluh daripada 11 pertemuan terbabit berakhir dengan Si Wei-Ya Qiong mencatatkan kemenangan “straight set”.

Setakat tahun 2023, mereka telah berhadapan dengan Si Wei-Ya Qiong sebanyak dua kali iaitu di kejohanan Terbuka Malaysia dan Terbuka India pada Januari lalu. Kedua-dua pertarungan itu menyaksikan Soon Huat-Ya Qiong tumpas 16-21 dan 10-21 serta 11-21 dan 7-21 masing-masing.

Untuk makluman, Si Wei-Ya Qiong berhasil ke peringkat separuh akhir setelah merakamkan kemenangan ke atas bekas beregu No.1 Indonesia, Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti.

Featured Image: Facebook Victor

Komen