Beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menjadi satu lagi wakil Malaysia yang mengiringi Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023.
Yew Sin-Ee Yi yang merupakan beregu bebas (independent) mara ke peringkat tersebut selepas menumpaskan beregu No.1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto secara “straight set” dengan skor 22-20 dan 21-15.
Kemenangan itu sekaligus membawa mereka bertemu juara Kejohanan Dunia BWF 2021 dari Jepun merangkap antara lawan yang paling sukar untuk mereka tumpaskan dalam pertemuan-pertemuan lalu iaitu Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.
Di pentas antarabangsa, Yew Sin-Ee Yi sudah pernah turun menentang Hoki-Kobayashi sebanyak lapan kali. Namun begitu, rekod menunjukkan hanya satu kemenangan sahaja pernah berpihak kepada Yew Sin-Ee Yi.
Dan kemenangan itu pula terhasil sekitar tiga tahun lalu dalam saingan Princess Sirivannavari Masters 2020 dengan Yew Sin-Ee Yi mencatatkan kemenangan secara “straight set” 21-17 dan 21-15.
Selepas itu, lima pertemuan seterusnya yang berlangsung di Jelajah Dunia Akhir 2021 (peringkat kumpulan & separuh akhir), Kejohanan Dunia 2021, Terbuka Indonesia 2022 dan Jelajah Dunia Akhir 2022 memperlihatkan Yew Sin-Ee Yi kemarau kemenangan ke atas Hoki-Kobayashi.
Pertemuan yang akan berlangsung pada malam ini di BAC 2023 akan menjadi yang kesembilan melibatkan kedua-dua pasangan ini di pentas antarabangsa. Pemenang bagi perlawanan ini akan menempah tiket ke perlawanan akhir untuk bertemu samada beregu India, Satwiksairaj-Chirag Shetty atau beregu Taiwan, Lee Yang dan Wang Chi-lin.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia