Peminat dan pengikut badminton tanah air boleh meraikan satu perkhabaran gembira dari Dubai apabila dua figura besar dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengisi barisan kepimpinan baharu badan induk sukan berkenaan di rantau asia.
Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan yang dikongsikan pelbagai platform media sosial rasmi BAM pada Sabtu lalu.
Barisan kepimpinan baharu itu menyaksikan Presiden BAM, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dan Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh Chee Keong telah dipilih sebagai Presiden Kehormat dan Setiausaha Agung Badminton Asia (BA).
TAN SRI DR NORZA ZAKARIA APPOINTED AS @Badminton_Asia HONORARY PRESIDENT
Badminton Asia today announced the appointment of Tan Sri Dato' Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria as its Honorary President.
Read in FULL➡️ https://t.co/yySZclRbiK pic.twitter.com/jpn3ZwqTMV
— BAM (@BA_Malaysia) April 29, 2023
Jawatan Presiden Kehormat menjadi milik Norza setelah Presiden BA yang baharu, Kim Jong Soo mengumumkannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM). Difahamkan, perlantikan itu mendapat sokongan tidak berbelah bahagi para perwakilan dan barisan kepimpinan BA.
Untuk makluman, perlantikan ini menjadikan Norza individu pertama Malaysia menyandang jawatan terbabit dan ianya dilihat mampu memberikan sumbangan dalam meningkatkan lagi kualiti sukan badminton di rantau asia.
Sementara itu, Kenny menjawat jawatan Setiausaha Agung BA selepas memenangi pemilihan bagi jawatan tersebut. Beliau mengisi jawatan itu menggantikan Moosa Nashid dari Maldives.
Sebagai tambahan, kedua-dua figura BAM ini akan berkhidmat untuk BA pada penggal ini yang bertempoh sehingga tahun 2027.
Featured Image: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)