Rahadiazli Kongsi Gambar ‘X-Ray’ Selepas Tersisih Daripada Skuad B-22 Negara Ke Kemboja
May 2, 2023 Meor Mohamad Amirul

Desas-desus penyokong bola sepak tempatan seolah-olah terjawab setelah penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim berkongsi gambar “x-ray” tangannya di Instagram miliknya.

Desas-desus mengenai pemain berusia 22 tahun itu timbul selepas namanya dipinggirkan daripada senarai akhir ke Kemboja dan mengaitkan situasi tersebut dengan prestasi kurang memuaskan ketika Piala Merlion di Singapura tempohari.

Tindakannya menguatkan lagi makluman pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bahawa nama Rahadiazli terpaksa digugurkan berikutan masalah kecederaan tangan yang menimpanya.

Dalam pada itu, FAM telah mengumumkan senarai 20 pemain yang bakal menyahut cabaran Malaysia dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja. Seramai lima daripada 25 pemain yang tersenarai ke kem latihan pusat baru-baru ini disisihkan.

Empat pemain lain yang tidak menyertai skuad bawah 22 tahun kebangsaan pada kali ini ialah Syakimi Karim (Negeri Sembilan FC), Zharmien Ashraf (Kedah Darul Aman FC), Fakrul Fareez (Selangor FC) dan Nadzwin Salleh (Kuala Lumpur City FC).

Hampir keseluruhan skuad Harimau Muda ke Kemboja merupakan sebahagian besar daripada skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Merlion dengan tambahan dua pemain Liga Super, Mukhairi Ajmal (Selangor FC) dan Sikh Izhan (Negeri Sembilan).

Harimau Muda telah tiba di Kemboja bagi menghadapi saingan Kumpulan B bagi menentang Laos (3 Mei), Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) dan Singapura (11 Mei) di Stadium Prince, Phnom Penh. 

Untuk makluman, FAM telah meletakkan sasaran layak ke pentas akhir buat skuad Harimau Muda untuk membawa pulang pingat emas mahupun perak ke tanah air pada temasya Sukan SEA kali ini. 

Featured Image: Terengganu FC

Komen