Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kembali menghuni tangga kelapan dunia selepas kali terakhir menduduki kedudukan tersebut pada minggu ke-49 tahun 2021.
Pemain berusia 25 tahun tersebut tergelincir ke kedudukan itu selepas kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini.
Kemaskini tersebut memperlihat Zii Jia jatuh empat anak tangga berbanding minggu lalu setelah memungut 67,488 mata daripada sepuluh kejohanan terbaiknya. Sebelum ini, Zii Jia menghuni tangga keempat dunia berkenaan selama 14 minggu berturut-turut.
Ketika ini, tangga keempat dunia itu diisi Loh Kean Yew (76,115 mata) diikuti Chou Tien Chen (71,266 mata), Jonatan Christie (70,712 mata) dan Kunvalut Vitidsarn (68,839 mata) pada kedudukan kelima, keenam dan ketujuh masing-masing.
Perkembangan ini sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap kedudukan Zii Jia yang kini berada dalam projek Road To Gold (RTG).
Untuk makluman, projek RTG meletakkan dua kriteria utama dalam pemilihan atlet untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik 2024 iaitu memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik atau mereka menduduki kelompok sepuluh terbaik dunia dalam sukan masing-masing.
Difahamkan, mana-mana atlet yang tidak memenuhi kriteria ini akan terkeluar daripada program RTG biarpun telah tersenarai pada awalnya.
Featured Image: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)