Pasangan badminton wanita No.1 tanah air, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan julung kalinya terkeluar daripada senarai sepuluh beregu wanita terbaik dunia selepas menghuni kelompok berkenaan 26 minggu berturut-turut.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan gandingan yang menjuarai Terbuka Perancis dan pingat emas Sukan Komanwel pada tahun lalu jatuh tiga anak tangga berbanding minggu lalu dalam Ranking Dunia.
Kejatuhan itu sekaligus meletakkan Pearly-Thinaah menghuni tangga kesebelas dunia pada minggu ini hasil memiliki 66,480 mata daripada sepuluh kejohanan terbaik mereka.
Sementara itu, kedudukan kelapan pada minggu ini diisi oleh pasangan Korea yang muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023, Baek Ha-na dan Lee So-hee yang kini mengumpul 71,125 mata.
Ianya diikuti dengan pasangan Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (71,037 mata) dan sepasang lagi gandingan Korea, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong (70,817 mata) di tangga kesembilan dan kesepuluh masing-masing.
Kejatuhan ini secara langsungnya membuatkan nama Pearly-Thinaah tidak menepati kriteria yang digariskan untuk menyertai program Road To Gold (RTG) iaitu samada perlu berada dalam kelompok sepuluh terbaik dunia atau pernah memenangi pingat dalam temasya Sukan Olimpik edisi terdahulu.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia (BAM)