Artikel

Sukan SEA 2023: Kenali 5 Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Lelaki Kumpulan B

Acara bola sepak lelaki bagi Kumpulan B yang disertai Malaysia pada temasya Sukan SEA 2023 agak menarik untuk disaksikan dengan majoriti pasukan mempertaruhkan nakhoda yang pertama kali mengendalikan skuad bawah 22 tahun (B-22). Selain itu, terdapat juga beberapa pasukan yang mempertaruhkan kudrat jurulatih tempatan masing-masing selain mendapatkan kepakaran jurulatih luar khususnya dari benua eropah.

Bersempena dengan hari perlawanan pertama melibatkan skuad Malaysia pada hari ini, Sukanz tampil memperkenalkan lima ketua jurulatih setiap pasukan dalam Kumpulan B yang terdiri daripada Thailand, Singapura, Vietnam, Laos dan Malaysia dengan lebih dekat untuk tatapan pembaca:

#1 Thailand – Issara Sritaro

Nama Issara Sritaro bukanlah sepopular Kiatisuk Senamuang tetapi pengendali berusia 43 tahun ini telah bersama skuad kebangsaan sejak tahun 2016 lagi bagi menjadi pembantu jurulatih skuad bawah 17 tahun (B-17) Thailand. 

Bersama Worrawoot Srimaka, Sritaro selaku penolong jurulatih berjaya merangkul pingat emas Sukan SEA 2017 menewaskan Malaysia. Pada tahun 2019, Sritaro telah dilantik selaku pembantu jurulatih kepada Akira Nishino untuk mengendalikan skuad senior dan junior kebangsaan sehingga tahun 2021.

Pada tahun 2023, Sritaro kembali sebagai ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) Thailand selepas setahun meninggalkan kem negara untuk melatih PT Prachuap.

#2 Singapura – Philippe Aw Thiam Hor

Jurulatih kelab Liga Singapura, Young Lions, Philippe Aw telah bersama skuad junior Singapura sejak tahun 2019 apabila berhijrah daripada Hougang United. Bermula dengan skuad bawah 15 tahun (B-15) Kota Singa, pengendali berusia 45 tahun itu kemudiannya melatih Young Lions pada tahun 2021.

Dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-22 kebangsaan, Philippe Aw bukanlah asing kerana hampir keseluruhan skuad terdiri daripada pemain kelabnya dan pemain skuad B-15 Singapura di bawah jagaannya.

Penyerang sensasi dan anak kepada legenda Singapura, Fandi Ahmad iaitu Ilhan Fandi antara pemain yang menyinar ketika bersama Philippe di Young Lions bagi musim 2021 & 2022.   

#3 Vietnam – Philippe Troussier 

Nama Troussier bukanlah asing di pentas bola sepak global apabila berjaya memimpin skuad kebangsaan Jepun menjuarai Piala Asia 2002 dan muncul naib juara Piala Konfederasi FIFA 2001.

Jurulatih berusia 68 tahun itu pernah bersama Vietnam pada tahun 2019 sehingga 2021 yang menyaksikan negara itu layak ke Kejohanan Bawah 19 Tahun Asia 2020 sebelum digantikan Dinh The Nam. 

Kini, beliau kembali ke Vietnam untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Park Hang-seo untuk melatih skuad senior dan junior negara itu pada tahun 2023.

#4 Laos – Hans Michael Weiss

Seperti Troussier, Michael Weiss turut ditugaskan mengendalikan skuad senior, pasukan B-22 dan bawah 19 tahun (B-19) Laos pada 2022. Bersama Filipina dan Mongolia, pengendali berusia 58 tahun itu dilihat sebagai figura yang dihormati kerana berjaya meningkatkan mutu bola sepak negara tersebut. 

Di Filipina, Weiss merupakan individu yang bertanggungjawab menaikkan ranking FIFA skuad The Azkals sehingga ke tangga ke-127 dunia sebelum tugas itu diserahkan kepada Thomas Dooley. Ketika melatih Mongolia, jurulatih itu berhasil meletakkan negara mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022. 

Weiss turut pernah melatih skuad pembangunan China dan Rwanda sebelum berhijrah ke rantau Asia Tenggara dan Asia Tengah bersama Filipina dan Mongolia.

#5 Malaysia – E. Elavarasan

Elavarasan merupakan watak yang cukup disegani dalam bola sepak Malaysia. Pada tahun 2022, Elavarasan dipilih sebagai penolong jurulatih Kim Pan-gon untuk bersama-sama melatih skuad kebangsaan dan diberikan tugas sampingan untuk mengendalikan Harimau Muda selaku ketua jurulatih bagi menggantikan Brad Maloney.

Dalam Liga Malaysia, Elavarasan bukanlah jurulatih yang berjaya memenangi trofi tetapi jurulatih itu sentiasa hadir apabila diperlukan. Bukan sahaja membantu banyak kelab divisyen bawahan Malaysia layak ke Liga Super, Elavarasan juga pernah membawa PKNS FC mencapai kemuncak mereka apabila muncul finalis Piala FA 2016. 

komen