Mana-mana individu yang menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka akan menyandang jawatan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) secara automatik bermula saat ini.
Badan induk bola sepak bagi negeri Melaka memaklumkan perkembangan berkenaan selepas berlangsungnya Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA, semalam.
“Mengikut Perlembagaan MAFA, lantikan YAB Ketua Menteri Melaka yang baru secara automatik akan menyandang jawatan Presiden MAFA.” tulis MAFA menerusi platform media sosialnya, pada hari ini.
Sehubungan itu, Ketua Menteri Melaka pada saat ini, YAB Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh diumumkan sebagai Presiden MAFA yang baharu menggantikan presiden sebelum ini, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad.
Difahamkan perlantikan Ab Rauf untuk menerajui MAFA adalah bertujuan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Melaka.
Pada masa yang sama, MAFA yang diwakili Timbalan Presiden, Jawatankuasa Eksekutif, Kelab-Kelab Gabungan dan warga kerjanya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mantan presidennya, Nur Azmi yang mencurahkan jasa dan bakti kepada sukan bola sepak di negeri itu.
Antara sumbangannya semasa menerajui MAFA adalah menubuhkan Melaka FC yang sedang bersaing dalam kancah Liga M3 dan menganjurkan Kejohanan Piala TYT Melaka (Governor Cup) dan pembangunan akar umbi.
Untuk makluman, antara persatuan bola sepak lain yang turut menetapkan Ketua Menteri atau Menteri Besar dilantik secara automatik menerajui badan induk bola sepak bagi sesebuah negeri adalah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).
Featured Image: Facebook Rasmi Ab Rauf Yusoh