Badan induk sukan badminton dunia mengumumkan mengangkat legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei ke dalam Dewan Kemasyhuran (Hall Of Fame) BWF 2023.
Pengumuman terbabit sekaligus menjadikan Chong Wei sebagai pemain keenam Malaysia menyertai kelompok berkenaan selepas Dato’ Eddy Choong Ewe Beng, Dato’ David E. L. Choong, Dato’ Ng Boon Bee, Ong Poh Lim dan Dato’ Tan Yee Khan.
Menariknya, penyenaraian nama Chong Wei yang kini berusia 40 tahun dalam Dewan Kemasyhuran BWF pada tahun ini turut diiringi oleh seteru kuatnya dari China, Lin Dan.
📣#Badminton legends Lin Dan 🇨🇳 and Lee Chong Wei 🇲🇾 have been elected to the BWF Hall of Fame. They will be inducted at an official ceremony on 26 May 2023.
More 👉 https://t.co/JT1Ma2fHv2 pic.twitter.com/G4EQy9yTRF
— BWF (@bwfmedia) May 2, 2023
Untuk makluman semua, kedua-dua pemain ini cukup mendominasi arena badminton antarabangsa pada generasinya sebelum membuat keputusan untuk menggantung raket pada tahun 2019 dan 2020 masing-masing.
Dominasi Chong Wei dan Lin Dan pada ketika itu dapat diukur dengan mereka beraksi dalam lima temasya Sukan Olimpik dan sepuluh edisi Kejohanan Dunia.
Daripada segi pencapaian individu, Chong Wei berjaya menjuarai 47 saingan Superseries/World Tour serta menghuni ranking No.1 dunia selama 349 minggu.
Manakala kejayaan Lin Dan pula terarah kepada memenangi dua pingat emas Sukan Olimpik serta lima Kejohanan Dunia.
Difahamkan, kedua-duanya akan diperkenalkan secara rasmi ke dalam Dewan Kemasyhuran BWF dalam satu acara yang dijadualkan berlangsung pada 26 Mei (Jumaat) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Ianya akan disiarkan secara penstriman langsung melalui BWF TV bermula jam 7 malam.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia (BAM)