Manchester United Beri Ucapan Istimewa Dalam Bahasa Melayu Kepada Isteri Lee Chong Wei
May 3, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United mengejutkan para peminat bola sepak dan badminton tempatan apabila menzahirkan ucapan ulang tahun kelahiran buat isteri Datuk Wira Lee Chong Wei, Datin Wong Mew Choo.

Terdahulu, Chong Wei telah memuatnaik satu hantaran sebagai tanda penghargaan bersempena hari lahir isterinya berserta nota kaki yang mencuit hati peminat Manchester United; “Saya ada 3 hero pakai jersi Manchester United. Harap boleh kejar No.3 tetapi Newcastle (United) macam hebat. In Ten Hag, we trust.”

Bekas jaguh perseorangan negara itu turut mengepilkan foto seisi keluarganya menyarung jersi alternatif atau ketiga skuad berjulukan The Red Devils yang berwarna kuning kehijauan ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-40 isterinya merangkap bekas perseorangan wanita negara.

Susulan itu, juara Piala Carabao 2022-23 terbabit bertindak memuat naik ucapan ulang tahun kelahiran Mew Choo bersama foto terbabit di pelbagai platform media sosialnya. Muat naik itu meraih pelbagai respons peminat bola sepak tempatan khususnya peminat Manchester United sendiri.

Bagaimanapun, ucapan yang disiarkan menerusi pelbagai media sosial rasmi kelab itu hanya boleh disaksikan para pengikut dan pengguna di Malaysia sahaja.

Untuk pengetahuan semua, Wong Mew Choo merupakan bekas pemain negara yang pernah merangkul pingat emas di Sukan SEA 2003 dan World Superseries Masters Akhir 2009 sebelum menggantung raketnya pada 2011.

Kemudiannya, beliau mendirikan rumah tangga bersama jaguh badminton tanah air pada 2012.

Featured Image: Facebook Lee Chong Wei

Komen