BAM Anjur Piala Presiden Untuk Uji Pemain Piala Sudirman 2023 – Kemasukan Penonton Percuma
May 3, 2023 Meor Mohamad Amirul

Peminat badminton tempatan berpeluang menyaksikan jaguh badminton negara berentap sesama mereka secara percuma apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan penganjuran Piala Presiden buat kali kedua selepas tiga tahun.

Penganjuran Piala Presiden kali ini bertujuan untuk menguji skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala Sudirman 2023 yang bakal berlangsung di Suzhou, China bermula 14 hingga 21 Mei ini.

Seramai 20 pemain yang telah disenaraikan bakal dibahagikan secara strategik kepada dua pasukan yang seimbang dan beraksi menentang satu sama lain di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad, 7 Mei bermula jam 10:00 pagi.

Kejohanan ini dianjurkan bagi meningkatkan semangat berpasukan selain daripada aspek pertandingan berintensiti tinggi dalam usaha untuk mencapai sasaran separuh akhir di China kelak.

Sebelum ini, Piala Presiden telah dianjurkan buat julung kalinya pada tahun 2020 bagi mempersiapkan pasukan negara menghadapi saingan Piala Thomas dan Piala Uber 2020.

Pada edisi lalu, kejohanan anjuran BAM itu mengikut acuan pertandingan Piala Thomas dan Piala Uber yang menyaksikan dua pasukan lelaki dan dua pasukan wanita berentap selama dua hari, 16 & 17 September di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Berikutan kejayaan penganjuran edisi sulung Piala Presiden, badan induk badminton negara bersama ABM dan jurulatih kebangsaan telah membuat keputusan untuk menganjurkan acara tersebut pada tahun ini.

Featured Image: Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Komen