Penyerang skuad kebangsaan Portugal dan Al Nassr, Cristiano Ronaldo muncul sebagai Atlet Berpendapatan Tertinggi Dunia 2023 menurut Forbes sekaligus merampas kedudukan itu daripada seterunya, Lionel Messi yang menerajui senarai itu pada tahun lalu.
Senarai terbaru yang dikeluarkan Forbes semalam meletakkan Ronaldo yang berusia 38 tahun terbabit di tempat pertama selepas menerima pendapatan berjumlah AS$136 juta dengan pendapatan dalam padang dan luar padangnya bernilai AS$46 juta dan AS$90 juta masing-masing.
Dalam senarai yang dikeluarkan Forbes pada tahun lalu, Ronaldo menghuni tangga ketiga dengan jumlah pendapatan bernilai AS$115 juta.
Sementara itu, Messi yang memenangi Ballon d’Or sebanyak tujuh kali serta membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 pula menghuni tangga kedua pada tahun ini dengan menjana pendapatan sebanyak AS$130 juta – sama seperti tahun lalu. Jumlah itu disumbangkan sama banyak daripada pendapatan dalam dan luar padang yang bernilai AS$65 juta masing-masing.
The World’s 10 Highest-Paid Athletes 2023 https://t.co/DOkj5zKLAP by @thebrettknight pic.twitter.com/KWRmTSc6rI
— Forbes (@Forbes) May 2, 2023
Tempat ketiga pula menjadi milik rakan sepasukan Messi di Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Kylian Mbappe yang meraih AS$120 juta setahun dengan pendapatan dalam padangnya bernilai AS$100 juta dan luar padangnya menyumbang sebanyak AS$20 juta.
Tujuh lagi atlet yang melengkap senarai ini adalah seperti berikut:
#4 Le Bron James (Bola Keranjang) – AS$119.5 juta
#5 Canelo Alvarez (Tinju) – AS$110 juta
#6 Dustin Johnson (Golf) – AS$107 juta
#7 Phil Mickelson (Gold) – AS$106 juta
#8 Stephen Curry (Bola Keranjang) – AS$100.4 juta
#9 Roger Federer (Tenis) – AS$95.1 juta
#10 Kevin Durant (Bola Keranjang) – AS$89.1 juta
Untuk makluman semua, Forbes menyenaraikan atlet-atlet ini berdasarkan pendapatan dalam padang yang merangkumi gaji, bonus dan wang ganjaran kemenangan yang diperolehi antara 1 Mei 2022 hingga 1 Mei 2023.
Pendapatan luar padang pula adalah anggaran perjanjian penajaan, yuran penampilan, memorabilia dan pendapatan daripada pelesenan serta pulangan tunai hasil operasi bisnes oleh atlet-atlet ini selama 12 bulan bagi tempoh tarikh yang sama dinyatakan di atas.
Featured Image: Al Nassr Saudi Club