Leeds United Lantik ‘Survival Specialist’ Harungi Baki 4 Perlawanan EPL
Meor Mohamad Amirul
Leeds United telah melantik ‘Survival Specialist’ (Pakar Elak Penyingkiran), Sam Allardyce sebagai ketua jurulatih baharu mereka dalam misi kelab itu untuk kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang kelab dan dikongsikan pelbagai media sosial rasmi kelab.
Pengendali yang turut dikenali sebagai ‘Big Sam’ itu merupakan jurulatih yang cukup berpengalaman dalam membantu kelab-kelab Inggeris dengan menyelamatkan mereka daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan (Championship).
Sebelum ini, Sam telah menyelamatkan Sunderland (2015/16) dan Crystal Palace (2016/17) daripada tersingkir disamping membawa Everton keluar daripada zon penyingkiran dan berakhir di tangga kelapan liga.
📰 #LUFC can confirm Javi Gracia will leave the club, with our remaining four games overseen by experienced head coach Sam Allardyce. We thank Javi and his team for their efforts under difficult circumstances.
— Leeds United (@LUFC) May 3, 2023
Kejayaan terbesarnya adalah pada musim 2005/2006 apabila berjaya membawa Bolton Wanderers mara ke pentas eropah sekaligus beraksi dalam Piala UEFA setelah berakhir di tangga keenam liga.
Pengendali berusia 69 tahun itu akan mengendalikan pasukan baharunya untuk pastikan mereka tidak terus terjerumus ke zon penyingkiran dalam baki empat perlawanan liga.
Ketika ini, Leeds United berada di tangga ke-17 EPL selepas mengutip 30 mata, berkongsi mata dengan Leicester City dan Nottingham Forest di kedudukan ke-16 dan ke-18 liga masing-masing.
Perlawanan pertama yang akan dihadapi oleh Sam adalah menentang juara bertahan, Manchester City kendalian Pep Guardiola.
Sebelum ini, Javi Gracia yang telah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jesse Marsch hanya mencatatkan 3 kemenangan daripada 12 perlawanan sebelum berpisah dengan Leeds United.