Napoli Rangkul Kejuaraan Serie A Yang Pertama Selepas 33 Tahun
May 5, 2023 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di selatan Itali iaitu Napoli berjaya mengesahkan kejuaraan liga tertinggi bola sepak Itali, Serie A secara matematik apabila seri bertemu Udinese dalam perlawanan ke-33 yang berlangsung awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Keputusan seri 1-1 hasil jaringan Sandi Lovric (Udinese, 13’) dan Victor Osimhem (Napoli, 52’) itu sudah mencukupi buat skuad berjulukan Gli Azzurri kekal menerajui Serie A dengan 80 mata biarpun tumpas dalam baki lima perlawanan seterusnya.

Pada saat ini, tangga kedua Serie A dihuni oleh Lazio dengan 64 mata. Sekiranya Lazio memenangi baki lima perlawanan seterusnya, mereka hanya mampu mengumpulkan 79 mata sahaja.

Menariknya, Napoli yang kini mendapat bimbingan Luciano Spalletti menghadirkan ‘Scudetto’ buat kali pertama selepas tahun 1990 atau sekitar 33 tahun yang lalu.

Ketika itu, legenda bola sepak dunia, mendiang Diego Maradona antara watak utama yang membantu Napoli meraih kejuaraan tersebut.

Sebelum itu, Maradona turut membantu Napoli menjuarai Serie A buat pertama kali dalam sejarah mereka pada tahun 1987.

Untuk makluman semua, kejuaraan yang dirangkul pada musim ini juga merupakan yang ketiga dalam sejarah kelab mereka sejak ianya ditubuhkan pada tahun 1926.

Featured Image: SSC Napoli

Komen