Haaland Muncul Penjaring Terbanyak EPL Semusim – Atasi Rekod Alan Shearer & Andrew Cole
May 5, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang Manchester City (Man City), Erling Haaland ternyata tidak menunggu lama untuk meletakkan dirinya sebagai Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) Bagi Semusim selepas mengatasi rekod 34 gol yang dipegang Alan Shearer dan Andrew Cole.

Menariknya, Haaland hanya memerlukan 31 penampilan sahaja untuk mencetak 35 gol terbabit. Bagaimanapun, kedua-dua legenda EPL itu pula memerlukan 42 dan 40 penampilan masing-masing bagi membolehkan merekodkan 34 gol tersebut.

Untuk pengetahuan semua, Shearer dan Cole turut mencetak rekod tersebut ketika saingan EPL berlangsung dengan lebih banyak perlawanan iaitu sebanyak 42 perlawanan berbanding 38 perlawanan semusim pada ketika ini.

Rekod tersebut menjadi milik Haaland selepas menjaringkan satu gol pada minit ke-70 ketika bertemu West Ham baru-baru ini. Jaringan itu merupakan yang ke-35 dicetaknya bersama skuad The Cityzen dalam kempen sulungnya dalam kancah EPL, musim ini. 

Jaringan terbabit turut membantu Man City memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 dan mengumpul 79 mata daripada 33 perlawanan. Ianya sekaligus meletakkan skuad bimbingan Pep Guardiola kembali ke tangga teratas EPL mengatasi Arsenal yang mempunyai 78 mata daripada 34 perlawanan.

Dengan prestasi semasa serta baki lima perlawanan lagi yang perlu diharungi Man City musim ini, Haaland dijangkan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan lagi jumlah jaringannya sekaligus mengukuhkan lagi rekod yang dipegangnya itu.

Untuk makluman, sekitar seminggu yang lalu, penyerang skuad kebangsaan Norway ini meletakkan dirinya sebagai Penjaring Terbanyak EPL Bagi 38 Perlawanan Semusim selepas mengumpul 33 gol mengatasi rekod 32 gol yang dipegang penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Featured Image: Manchester City

Komen