‘Assist’ Cantik Ikhwan Yazek Curi Tumpuan Bintang Man City, Kevin De Bruyne
May 5, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemain tengah Manchester City, Kevin de Bruyne memilih hantaran Ikhwan Yazek sebagai bantuan gol terbaik berbanding tiga lagi bantuan gol yang dilakukan tiga pemain lain; Habib Haroon, Wan Zack Haikal serta bekas pemain Watford yang kini bersama Johor Darul Ta’zim, Fernando Forestieri. 

Menerusi wawancara bersama Stadium Astro, pemain berusia 32 tahun terbabit memilih hantaran pemain Kelantan FC itu ekoran memudahkan tugas penyerang untuk menjaringkan gol kerana dihantar di antara barisan pertahanan dan penjaga gol. 

“Saya akan katakan nombor 3 (bantuan gol Ikhwan), hanya kerana cara dia meletakkan hantaran di antara pertahanan dan penjaga gol.”

“Jelas sekali, dia (Fazrul) menjaringkan gol yang sangat bagus tetapi saya fikir dia (Ikhwan) menjadikannya lebih mudah untuk penyerang”, ujar De Bruyne dalam sesi wawancara bersama pengacara Stadium Astro, Adam Carruthers. 

Selain hantaran jauh Ikhwan, tiga lagi bantuan gol yang turut ditampilkan dalam sesi temubual tersebut hadir daripada Habib Haroon (Terengganu), Fernando Forestieri (Johor Darul Ta’zim) dan Wan Zack Haikal (Perak).

Kapten Belgium itu amat disegani dan terkenal dengan kreativiti dan visinya di atas padang apabila telah menghasilkan 102 bantuan gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Selain de Bruyne, empat lagi pemain yang mencatatkan jumlah bantuan gol terbanyak dalam lipatan sejarah EPL ialah Ryan Giggs (162), Cesc Fabregas (111), Wayne Rooney (103) dan Frank Lampard (102). 

Komen