Adams, Ferdinand & Cech Sertai Dewan Kemasyhuran PL
May 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Dua pertahanan legenda Liga Perdana Inggeris (EPL), Tony Adams dan Rio Ferdinand bersama penjaga gol tersohor, Petr Cech menjadi tiga pemain terbaru yang berada dalam senarai Dewan Kemasyhuran Liga Perdana (PL) atau dikenali sebagai PL Hall of Fame

Mereka menjadi pemain ke-17 hingga ke-19 menyertai senarai pemain hebat yang pernah mencipta pelbagai rekod dalam saingan tertinggi di England sejak anugerah tersebut diperkenalkan pada tahun 2021.

Untuk makluman, Adams beraksi bersama Arsenal sejak 1992 sehingga 2002 manakala Ferdinand pula menyarung jersi empat buah pasukan berbeza sejak 1995 hingga 2015 dalam kancah EPL.

Manakala, perjalanan Petr Cech di England pula bermula dengan Chelsea pada 2004 sebelum berhijrah menyertai kelab seteru di London, Arsenal pada 2015. Sebelum bersara, Cech sempat mencipta nama sebagai Penjaga Gol Dengan ‘Clean-Sheet’ Terbanyak EPL dengan catatan 202 perlawanan.

Selain itu, ketiga-tiga pemain ini pernah menjulang trofi EPL lebih daripada sekali sepanjang karier mereka bersama Arsenal, Chelsea dan Manchester United. 

Sebagai rekod, Adams memenangi liga sebanyak dua kali (1997-98 & 2001-02), Petr Cech mendakap trofi tersebut sebanyak empat kali (2004-05, 2005-06, 2009-10 & 2014-15) dan Rio Ferdinand pula menjuarai EPL sebanyak enam kali (2002-03, 2006-07. 2007-08, 2008-09, 2010-11 & 2012-13).

Terdahulu, Dewan Kemasyhuran PL menyaksikan dua orang pengurus legenda Manchester United dan Arsenal iaitu Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger disenaraikan bagi edisi tahun 2023.

Komen