Geely pada acara pelancaran Proton X90 hari ini, berkongsi sejumlah komitmen untuk pasaran Malaysia. Salah satu yang dikongsikan adalah mereka turut sedang membangunkan sebuah sekolah memfokuskan pembangunan bakat-bakat berkaitan bola sepak di Malaysia.
Geely menamakan sekolah berkenaan sebagai Asian Games Footbal Dream Schools. Sekolah ini akan dibangunkan dengan kerjasama pihak Sukan Asia, dan bertujuan dalam menginspirasikan para belia dalam meneruskan cita-cita berkaitan bola sepak.
Untuk makluman, projek Asian Games Football Dream Schools sedia dimulakan sebelum ini di Malaysia, dan telah menyasarkan 100 buah sekolah ketika pelancaran 2021 lepas. Dengan perkongsian pihak Geely ketika pelancaran Proton X90 ini, ia mungkin memperlihatkan Geely turut akan menaja dan memperluaskan lagi inisiatif berkenaan di Malaysia. Inisiatif ini sedia menyasarkan dalam membantu sekolah terpilih dengan menyediakan peralatan, latihan, program dan juga aktiviti dalam membangunkan bakat bola sepak tempatan.
Geely turut melihat langkah ini akan mengeratkan lagi hubungan arena sukan antara China dan Malaysia. Dengan perkongsian terbaru ini, kita mungkin mendengar lanjut berkaitan Asian Games Football Dream Schools ini tidak lama lagi.