Harry Kane Muncul Penjaring Kedua Terbanyak Sepanjang Zaman EPL – Atasi Rekod Rooney
May 8, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang skuad kebangsaan England, Harry Kane cukup dikenali dengan ketajamannya di hadapan gawang. Sekitar penghujung Mac lalu, pemain yang lahir di Utara London ini meletakkan namanya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad The Three Lions dengan mengatasi rekod 53 gol milik Wayne Rooney.

Terbaharu, Kane yang beraksi bersama Tottenham Hotspur muncul sebagai Penjaring Kedua Terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) Sepanjang Zaman seusai menentang Crystal Palace dalam saingan ke-35 bagi musim ini.

Jaringan tunggal pemain berusia 29 tahun ini pada penghujung babak pertama bukan sahaja membantu Spurs memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0 bahkan turut menjadikannya memiliki 209 gol secara keseluruhan dalam kancah EPL.

Pada masa yang sama, jumlah itu sekaligus mengatasi jaringan sebanyak 208 gol yang turut dimiliki Rooney merangkap bekas penyerang Everton dan Manchester United.

Untuk makluman semua, rekod Penjaring Terbanyak EPL Sepanjang Zaman masih dipegang oleh bekas penyerang Blackburn Rovers dan Newcastle United, Alan Shearer dengan jumlah 260 gol. Sebagai perbandingan Kane memerlukan 51 gol lagi untuk menyamainya dan 52 gol untuk memecahkan rekod tersebut.

Featured Image: Tottenham Hotspur

Komen