10 Penjaring Terbanyak Liga Juara-Juara AFC 2022
May 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Liga Juara-Juara AFC (ACL) telah melabuhkan tirai bagi edisi 2022 dengan kelab negara matahari terbit, Urawa Red Diamonds muncul juara. Ini merupakan kejuaraan ketiga kelab Jepun tersebut sejak kali terakhir juara pada 2007 dan 2017. 

Sepanjang berlangsungnya kejohanan elit  bagi benua asia ini, sebanyak 384 jaringan terhasil dengan 15% jaringan hadir menerusi 10 penjaring terbanyak ACL 2022. Senarai penjarung terbanyak tersebut turut merangkumi 4 pemain dari benua amerika selatan dan baki setiap dua pemain daripada 3 benua berbeza; asia, eropah dan afrika. 

Tanpa melengahkan masa, ayuh Sukanz bawakan 10 penjaring terbanyak ACL bagi musim 2022:

#10 Arslanmyrat Amanow (Ahal) – 4 Gol

Penyerang kebangsaan Turkmenistan, Arslanmyrat berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang peledak berbisa di pentas tertinggi Asia apabila menjaringkan 4 gol sepanjang kejohanan. Satu gol dihasilkan penyerang berusia 33 tahun itu ketika menentang Shabab Al-Ahli dan menjaringkan hatrik dalam aksi terakhir kumpulan menewaskan kelab Qatar, Al-Gharafa.

#9 David Moberg (Urawa Red Diamonds) – 5 Gol

Baru berkelana ke rantau Asia, David Moberg menjadi pemain paling bertuah dapat merasai kejuaraan ACL bersama pasukan baharunya dan meletakkan dirinya sebagai salah seorang penjaring terbanyak kejohanan edisi ini dengan 5 gol. Ketika menentang Johor Darul Ta’zim, Moberg menjaringkan dua gol dalam aksi pusingan 16 tersebut.

#8 Federico Cartabia (Shabab Al-Ahli) – 5 Gol

Bekas penyerang Valencia dan Malaga di La Liga, Cartabia menjaringkan 5 gol daripada 5 perlawanan musim lalu bersama kelab Emiriah Arab Bersatu, Shabab Al-Ahli secara berturut-turut bermula minggu kedua sehingga minggu kelima kejohanan.  

#7 Carlos (Al-Shabab) – 5 Gol

Biarpun baru bersama Al-Shabab, Carlos yang berusia 28 tahun nampaknya cepat menyesuaikan dirinya di pentas Asia apabila berjaya mencatatkan 5 gol daripada 4 perlawanan dalam musim sulungnya dalam kejohanan ini, menjadikan dirinya pemain kedua dengan jaringan melebihi jumlah perlawanan dalam senarai ini. 

#6 Yusuke Matsuo (Urawa Red Diamonds) – 6 Gol

Pemain yang bakal berkelana ke Belgium, Yusuke Matsuo merupakan antara nadi penting juara tiga kali ACL apabila menjaringkan gol penting dalam usaha mereka layak ke pentas akhir sekaligus mencatatkan jaringan ke-6 sepanjang kejohanan kali ini.

#5 Michael Olunga (Al-Duhail) – 6 Gol

Penjaring terbanyak musim 2021, Michael Olunga tetap menjadi watak utama dalam perjalanan ACL mereka musim ini dengan 6 gol yang dijaringkan tetapi serangan mereka yang dominan tidak cukup untuk membawa mereka layak ke pentas akhir antara zon. 

#4 Bergson (Johor Darul Ta’zim) – 6 Gol

Bergson menjadi satu-satunya wakil kelab Asia Tenggara yang berada dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan apabila berjaya menjaringkan 6 gol termasuk hatrik ketika bertemu kelab China, Guangzhou dan membantu jaguh Liga Malaysia itu mara ke peringkat seterusnya selaku juara kumpulan. 

#3 Odion Ighalo (Al-Hilal) – 7 Gol

Bekas penyerang pinjaman Manchester United, Odion Ighalo yang berusia 34 tahun kini menyinar sebagai penjaring kedua terbanyak ACL hasil 7 jaringan termasuklah 4 gol yang hadir ketika membelasah Al-Duhail 7-0 di peringkat akhir zon Barat.

#2 Zeca (Daegu) – 7 Gol

Penyerang tinggi lampai dari Brazil, Zeca muncul penjaring kedua terbanyak pada musim sulungnya di ACL bersama kelab pinjamannya, Daegu FC dengan menjaringkan hatrik pada aksi pertama kejohanan bertemu kelab China, Shandong Taishan.

#1 Edmilson Junior (Al-Duhail) – 8 Gol

Berdarah kacukan Brazil, Edmilson yang membesar di Belgium berjaya menjaringkan 8 gol ketika beraksi dalam peringkat kumpulan termasuk hatrik menentang kelab Uzbekistan, Pakhtakor Tashkent sekaligus dinobatkan sebagai penjaring terbanyak ACL 2022. 

Komen