Selepas skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun (B-22) Kemboja mengumpul empat mata hasil meraih kemenangan ke atas Timor Leste dan seri menentang Filipina, Presiden Persekutuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Jeneral Sao Sokha berjanji untuk meletakkan jawatan sekiranya mereka gagal mara ke peringkat separuh akhir dalam temasya Sukan SEA 2023.
Semalam, peluang Kemboja ke peringkat terbabit semakin menguncup apabila tumpas 0-2 kepada Myanmar dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A.
Kekalahan itu menyaksikan Kemboja perlu mengharapkan Myanmar yang berada di tangga kedua Kumpulan A tumpas dalam perlawanan terakhir menentang Filipina pada 10 Mei nanti. Pada masa yang sama, mereka wajib mencatatkan kemenangan ke atas pendahulu kumpulan iaitu Indonesia agar dapat mara ke peringkat separuh akhir.
Situasi kedua yang membolehkan Kemboja mara adalah dengan mengharapkan Myanmar seri ketika menentang Filipina serta mereka meraih kemenangan sekurang-kurangnya 1-0 ke atas Indonesia dalam perlawanan terakhir tersebut.
Namun begitu, Sao Sokha tampil mengumumkan meletakkan jawatannya selaku Presiden FFC menerusi akaun Facebook peribadinya berkuat kuasa serta-merta. Pengumuman itu turut dikongsikan oleh laman sosial rasmi FFC pada malam tadi.
Sebagai rekod, Sao Sokha yang turut berperanan sebagai Naib Presiden I Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja (NOCC) mula menyandang jawatan Presiden FFC sejak tahun 2007.
Sementara itu, dalam pengumuman yang sama, difahamkan Sao Sokha menyerahkan tugas ini kepada Naib Presiden FFC merangkap Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth sebagai pemangku Presiden FFC.
🇰🇭 Major General Khiev Sameth from Cambodia was returned unopposed as the President of the ASEAN Football Federation and will lead the federation for a second term, from 2022 to 2026.#AFF pic.twitter.com/iOMYXuWzW5
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) November 14, 2022
Featured Image: Cambodian Premier League