Sukan SEA 2023: Grace Sumbang Emas Pertama Olahraga, Pecah Rekod Temasya
May 8, 2023 Meor Mohamad Amirul

Atlet lontar tukul besi, Grace Wong Xiu Mei meraih pingat emas pertama buat Malaysia dalam acara olahraga di temasya Sukan SEA 2023 Kemboja. 

Kilauan emas yang diraih anak kelahiran Sarikei, Sarawak itu terhasil setelah merekodkan lontaran terbaiknya berjarak 61.88 meter (m) pada percubaan keempat, pada hari ini.

Kemenangan ini bermakna Grace Wong berjaya mempertahankan emas yang dimenanginya dalam acara yang sama pada temasya edisi yang lalu, Sukan SEA 2021 Vietnam.

Catatan terbaharunya itu turut memadam rekod kejohanan iaitu sejauh 59.24m yang dicatatkan dirinya sendiri di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Ianya turut menjadi pingat emas ketiga dimenanginya sepanjang penyertaannya dalam temasya dwitahunan ini.

View this post on Instagram

A post shared by Olympic Council of Malaysia (@olympicmas)

Acara yang berlangsung di Stadium Morodok Techno, Phnom Penh itu turut menyaksikan Mingkamon Koomphon meraih pingat perak hasil lontaran sejauh 57.62 m manakala pingat gangsa dipungut seorang lagi atlet negara, Nurul Hidayah Lukman (49.61 m). 

Terdahulu, Grace Wong mencatatkan rekod terbaik peribadinya yang juga rekod kebangsaan di Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia dengan balingan sejauh 62.48 m dua tahun lalu.  

Untuk pengetahuan semua, Grace merupakan anak saudara kepada atlet lontar tukur besi legenda tanah air, Wong Tee Kui yang memenangi emas bagi acara tersebut pada lima edisi berturut-turut, 1991, 1993, 1995, 1999 dan 2001.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen