Sukan SEA 2023: Filipina Bantai Skuad Badminton Wanita Negara 3-0 Di Suku Akhir
May 8, 2023 Hafizuddin Omar

Acara badminton berpasukan wanita di temasya Sukan SEA 2023 menyaksikan skuad negara mengulangi kekalahan di peringkat suku akhir sama seperti edisi lalu. Ulangan itu terhasil apabila tumpas mengejut 0-3 kepada skuad Filipina, sebentar tadi.

Dalam aksi tersebut, Malaysia memulakan pertarungan dengan menurunkan pemain ranking ke-138 dunia, Tan Zhing Yi bagi menentang perseorangan ranking ke-184 dunia, De Guzman Mikaela Joy. Pertarungan itu berpihak kepada De Guzman dengan kemenangan “straight set” 24-22 dan 21-18 memastikan Filipina mendahului 1-0.

Pertarungan kedua diteruskan dengan pertembungan melibatkan gandingan Low Yeen Yuan-Valeree Siow (ranking ke-76) bertemu Alyssa Ysabel-Thea Marie (ranking ke-122). Malaysia sekali lagi menanggung kekalahan apabila Yeen Yuan-Valeree tumpas menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 22-20, 19-21 dan 24-22 sekaligus membolehkan Filipina mendahului 2-0.

Seterusnya, pertarungan diteruskan dengan pemain negara yang menghuni ranking ke-308 dunia, Siti Nurshuhaini menentang penghuni ranking ke-540 dunia, Maria Bianca Ysabel. Ternyata Nurshuhaini yang merupakan naib juara saingan Antarabangsa Belanda 2022 dan naib juara Terbuka Czech 2021 turut sama tidak mampu mengekang kemaraan Filipina.

Dalam pertarungan tersebut, Nurshuhaini juga menanggung kekalahan di tangan lawannya apabila tumpas secara “straight set” dengan skor 16-21 dan 18-21 sekaligus mengesahkan kekalahan 0-3 Malaysia serta tersingkir daripada acara ini.

Sebagai rekod, dalam temasya Sukan SEA 2021 Vietnam yang lalu, skuad wanita Malaysia tumpas di peringkat yang sama di tangan skuad tuan rumah dengan keputusan 1-3.

 

Komen