Sukan SEA 2023: Harimau Muda Bukan Sekadar Tak Capai Sasaran Malah Kandas Peringkat Kumpulan
May 8, 2023 Hafizuddin Omar

Selepas mengharungi tiga perlawanan di Sukan SEA 2023 Kemboja, skuad bola sepak lelaki bawah 22 tahun (B-23) disahkan gagal untuk mencapai sasaran yang diletakkan pada temasya berkenaan.

Lebih malang, skuad berjulukan Harimau Muda ini bukan sahaja gagal mencapai sasaran iaitu mara ke perlawanan akhir bahkan turut terkandas di peringkat Kumpulan B.

Situasi ini hadir setelah skuad bimbingan E. Elavarasan tumpas 1-2 kepada Vietnam hasil jaringan berganda daripada Nguyen Van Tung pada minit ke-7 dan ke-33 masing-masing dalam perlawanan ketiga peringkat Kumpulan B, sebentar tadi.

Jaringan tunggal oleh Malaysia pula hadir menerusi Aiman Afif sekitar penghujung babak pertama.

Kemenangan Vietnam bimbingan Philippe Troussier ini membolehkan mereka mengumpul sembilan mata sekaligus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir. Sementara itu, Thailand pula terlebih dahulu mengesahkan kemaraan ke peringkat yang sama setelah mencatatkan kemenangan ketiga bertemu Laos, pada petang tadi.

Kedua-dua pasukan ini akan berentap sesama sendiri dalam perlawanan akhir peringkat Kumpulan B bagi merebut status juara dan naib juara kumpulan pada 11 Mei nanti.

Malaysia pula yang mencatatkan satu kemenangan berada di tangga ketiga dengan tiga mata. Kemenangan dalam perlawanan akhir menentang Singapura kelak menjadikan Malaysia mengutip enam mata – tidak mencukupi untuk memintas pungutan mata Vietnam mahupun Thailand.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen