Messi Muncul Atlet Pertama Rangkul Anugerah Individu & Berpasukan Tahunan Laureus 
May 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Tonggak utama Argentina, Lionel Messi mencipta sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah Anugerah Sukan Dunia Laureus apabila menjadi atlet pertama berjaya merangkul kemenangan berganda dalam tahun yang sama.

Dalam majlis yang berlangsung awal pagi tadi (waktu Malaysia), Messi telah dinobat sebagai Ahli Sukan Lelaki Dunia Tahunan selepas membantu skuad berjulukan La Albiceleste menamatkan kemarau 36 tahun kejuaraan Piala Dunia pada 2022.  

Penyerang berusia 36 tahun itu menewaskan lima lagi calon, Kylian Mbappe (bola sepak), Max Verstappen (pemotoran), Mondo Duplantis (olahraga), Rafael Nadal (tenis) dan Stephen Curry (bola keranjang). 

Ini merupakan kemenangan kedua bintang Piala Dunia itu selepas kali pertama muncul pemenang pada tahun 2020 bersama jaguh lumba pemotoran daripada United Kingdom, Lewis Hamilton.

View this post on Instagram

A post shared by Leo Messi (@leomessi)

Selain itu, Messi bersama skuad bola sepak lelaki Argentina turut merangkul Anugerah Pasukan Terbaik Tahunan selepas aksi cemerlang mereka membawa pulang ibu segala trofi bagi sukan bola sepak itu kembali ke bumi Buenos Aires, Disember lalu. 

La Albiceleste menewaskan skuad kendalian Carlo Ancelotti yang memenangi Liga Juara-Juara UEFA pada Mei tahun lalu yang merupakan salah satu calon bagi kategori anugerah tersebut.

Untuk pengetahuan semua, anugerah Laureus diwujudkan bagi menghargai pencapaian atlet dan pasukan tanpa mengira sukan yang mereka wakili sepanjang tahun. 

Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David merupakan salah seorang ahli akademi Laureus sejak 2021 dan pernah menjadi duta Laureus pada tahun 2014.

Featured Image: Laureus (Facebook)

Komen