MLS Bekerjasama Dengan Syarikat AI – Buka Peluang ‘Scout’ Pemain Dari Jauh
May 9, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain bola sepak berbakat di seluruh dunia kini berpeluang untuk menarik perhatian kelab-kelab di Amerika Syarikat setelah penganjur liga utamanya, Major League Soccer (MLS) mengumumkan kerjasama dengan ai.io – sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di London.

Menerusi kerjasama ini, mana-mana pemain boleh memuat turun aplikasi aiScout secara percuma di telefon pintar. Dengan aplikasi ini, pemain akan menjalani program latihan percubaan secara maya dengan melengkapkan beberapa penilaian samada di belakang rumah, padang atau mana-mana tempat terbuka.

Seusai melengkapkan penilaian tersebut, aiScout akan menganalisis kemampuan pemain dan menerusi platform yang disambungkan kepada MLS, pemain itu akan dinilai menerusi data yang dijana. Pemain-pemain yang mendapat pemarkahan tinggi berpeluang untuk mendapat tawaran untuk berlatih bersama MLS dalam mana-mana acara yang diaturkan di Amerika Syarikat dan Kanada.

Perkembangan ini bakal menyaksikan peningkatan peluang buat pemain-pemain menunjukkan bakat kepada kelab-kelab MLS selain mengurangkan kos perjalanan ke Amerika Syarikat atau Kanada bagi menjalani program latihan percubaan.

Difahamkan kelab-kelab dalam kancah MLS, MLS Next Pro dan MLS Next akan mendapat akses kepada aiScout serta sebuah lagi platform, aiLabs bermula Disember kelak. Pemain dari seluruh dunia pula akan berpeluang untuk dijejaki bakat masing-masing secara percuma oleh MLS bermula Januari 2024.

Komen