Pengasas Facebook Raih Emas Dalam Sukan Jiu-Jitsu
May 9, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengerusi Meta dan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg berjaya meraih pingat emas dan perak dalam kejohanan jiu-jitsu pertamanya di California. 

Zuckerberg, atau lebih ramah dipanggil Zuck, berkongsikan kemenangannya itu di pelbagai media sosial miliknya berserta kapsyen, “bertanding dalam kejohanan jiu-jitsu pertama saya dan memenangi beberapa pingat emas dan perak untuk pasukan Gerila Jiu-Jitsu.”

Kejohanan yang berlangsung di Woodside High School itu merupakan aksi sulungnya mewakili Guerilla Jiu-Jitsu sejak berada di bawah kendalian jurulatih, Dave Camarillo, Khai Wu dan James Terry. 

View this post on Instagram

A post shared by Mark Zuckerberg (@zuck)

Dave Camarillo bukanlah asing dalam dunia jiu-jitsu apabila melatih beberapa nama besar seni mempertahankan diri campuran (MMA) seperti Jon Fitch, Josh Koscheck, Mike Swick dan Cain Velazquez serta bintang Hollywood, Keanu Reeves. 

Jurulatihnya itu turut memberi penghargaan kepada Zuckerberg di Instagram dengan kapsyen, “Saya berbesar hati untuk berlatih bersama anda, mengajar anda dan belajar daripada anda. Anda benar-benar orang yang luar biasa.”

Kejayaannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada atlet seni mempertahankan diri terkemuka dunia seperti Brandon Moreno dan Alexander Volkanovski yang mengucapkan tahniah kepada pemilik rangkaian media sosial terkenal itu. 

Untuk makluman, jutawan teknologi berusia 38 tahun itu mula menceburi bidang seni mempertahankan diri sebagai hobi terbaharunya semasa pandemik COVID-19 melanda dunia. 

Featured Image: Mark Zuckerberg (Facebook)

Komen