Sukan SEA 2023: Skuad Badminton Lelaki Negara Ulangi Kemenangan Ke Atas Vietnam
May 9, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad badminton lelaki negara berhasil mengulangi kemenangan ke atas Vietnam pada perlawanan pertama dalam acara badminton berpasukan lelaki di temasya Sukan SEA 2023 sama seperti dilakukan di temasya edisi lalu – Sukan SEA 2021.

Bukan sahaja mengulangi kemenangan di peringkat yang sama, skuad lelaki negara turut mengulangi kemenangan dengan keputusan yang sama iaitu 3-1. 

Perseorangan negara yang menghuni ranking ke-64 dunia, Leong Jun Hao menyumbangkan mata pertama buat Malaysia apabila berjaya menumbangkan lawannya yang berada di ranking ke-111, Nguyen Hai Dang secara “straight set”dengan skor 21-14 dan 21-16.

Rentetan kemenangan itu diteruskan dengan beregu negara yang berada di ranking ke-76, Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe menumpaskan gandingan ke-136, Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh juga secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-14.

Namun begitu, Vietnam berhasil mengekang Malaysia daripada mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut apabila perseorangan negaranya yang berada di ranking ke-163, Le Duc Phat mengejutkan pemain di tangga ke-95 dunia, Lee Shun Yang dengan meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-13, 16-21 dan 21-7.

Bagaimanapun, Vietnam tidak dapat mengekang Malaysia pada pertarungan berikutnya apabila taruhannya, Nguyen Xuan Hung-Pham Van Hai tidak dapat menjinakkan beregu negara yang menghuni ranking ke-106 dunia, Chia Weijie-Liew Xun.

Pertarungan akhir itu dimenangi gandingan Malaysia secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-18 sekaligus mengesahkan kemenangan skuad negara dengan keputusan 3-1. Kemenangan ini membawa Malaysia ke peringkat separuh akhir bertemu Thailand.

 

Komen